Friday 23 January 2015

Sempurna


Ditulis oleh: Sophy San
Diterbitkan & Hakcipta: SophySan Publications
Tarikh: 24 Januari 2015
Tajuk: Sempurna





Mencari kesempurnaan
Adalah ibarat
Mencari pena yg sentiasa bertinta
Meskipun ia menulis beribu tahun
Kau tidak akan menemuinya
Meskipun menjelajah ke pelusuk dunia
Kerana kesempurnaan bukan diciptakan untukmu
Bukan juga menjadi milikmu. 

Mencari kesempurnaan
Adalah ibarat
Mencari madah yang indah
Yang membuatkan hatimu tenang kerananya
Kau tidak akan menemuinya 
Dalam beribu bait-bait syair yang ditulis
Kecuali apa yang telah tertulis didalam KalamNya
Kerana tiada kata-kata
Yang lebih sempurna
Melainkan kebenaran dariNya.

Mencari kesempurnaan
Adalah ibarat
Mencari dunia yang tidak berpenghujung
Kau tidak akan menemuinya
Meskipun beribu kali 
Kau mengelilinginya
Kerana penghujung dunia
Adalah kematian
Yang kau tidak dapat bersembunyi darinya.

Apakah kau perlu mencarinya lagi?
Sedangkan
Kesempurnaan telah dikurniakan untukmu
Untuk kau melihat dengan cahaya hatimu
Akan kebenaran Tuhanmu
Melalui insan yang SEMPURNA
Yang telah diberitakan kepadamu
Melalui Taurat, Zabur dan Injil
Dialah Muhammad saw
Manusia terpuji dan sentiasa dipuji
Oleh Tuhanmu Yang Maha Pencipta
Dan oleh sekalian makhluk
Dilangit dan dibumi.

Meskipun kau menghinanya
Adalah kerana
Kedengkian kau kepadanya
Apapun kekejian yang kau lakukan terhadapnya
Tidak sedikitpun 
Akan mengurangkan KESEMPURNAAN yang diciptakan untuknya
Bahkan tidak pula mencacatkan 
Ketinggian KESEMPURNAAN yang ada padanya.

Kau tidak akan dapat melihat kesempurnaan itu
Kerana kau telah membutakan matamu
Kau menutupi sendiri hatimu 
Dengan perasaan hasad dan benci
Apakah orang sepertimu 
Boleh mendapat petunjuk?

KESEMPURNAAN sentiasa menjadi kedengkian manusia
Kerana kau inginkan kesempurnaan
Agar manusia lain tidak memilikinya.

Kerana itu ia tidak diciptakan 
Untuk menjadi milikmu
Sedangkan kau mendustakan 
CiptaanNya yang SEMPURNA
Yang dipilih hanyalah MUHAMMAD SAW dan bukan dirimu
Dan kau juga menafikan
Tuhan YANG MAHA SEMPURNA
Iaitu kesaksian TUHAN YANG SATU.







Thursday 8 January 2015

Adakah Ini Dinamakan Cinta?


Ditulis oleh: Sophy San
Diterbitkan & Hakcipta: SophySan Publications
Tarikh: 8 Januari 2015
Sajak: Adakah Ini Dinamakan Cinta?



Hatiku gundah gulana
Tatkala renunganmu menusuk jiwa
Tatkala senyumanmu berkilau bak mutiara
Adakah ini dinamakan cinta?

Hatiku gundah gulana
Tatkala bisikanmu mengundang getar
Tatkala tubuhmu mengundang debar
Adakah ini dinamakan cinta?

Hatiku gundah gulana
Tatkala sentuhanmu mengudang gelora
Tatkala naluriku mengundang bahaya
Adakah ini dinamakan cinta?

Hatiku gundah gulana
Tatkala mahkota kau beli dengan manis bicara
Dan kau hilang tanpa kata-kata
Adakah ini dinamakan cinta?

Hatiku gundah gulana
Tatkala benihmu menjadi soal
Tidak berwali dan tidak berbapa
Adakah ini dinamakan cinta?

Hatiku duka sengsara
Tatkala cintamu racun berbisa
Tatkala nafsumu rakus menggoda
Bersama janji-janji dusta
Sedangkan kau pengkhianat cinta
Menerkam mangsa saat waktunya tiba
Dan aku tersepit dengan dosa
Dosa yang tidak bermata
Diiringi dengan tanda yang ku bawa

Adakah ini dinamakan cinta?



Wednesday 7 January 2015

Kanak-kanak Dan Imaginasi

Ditulis Oleh: Sophy San
Diterbitkan & Hakcipta: SophySan Publications
Tarikh: 8 Januari 2015
Tajuk: Kanak-kanak Dan Imaginasi


(anak buah penulis)


Assalammualaikum dan salam sejahtera, syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa yang memberikan nikmat kesihatan kepada penulis hingga dapat menerbitkan artikel ke-10 sepanjang blog ini beroperasi pada bulan November 2014. Artikel pada hari ini yang bertajuk “Kanak-kanak Dan Imaginasi” akan membuka tirai sebagai artikel pertama pada tahun 2015.

Secara umumnya kita mengetahui bahawa anak-anak yang berusia dari 2-12 tahun dikategorikan sebagai golongan kanak-kanak. Namun di dalam ‘Akta 611 Undang-undang Malaysia iaitu Akta Kanak-Kanak 2001’ perkara 16 kurungan (a) “kanak-kanak” memberi maksud seseorang yang di bawah umur lapan belas (18) tahun. Terdapat juga segelintir masyarakat yang mendefinasikan bahawa golongan kanak-kanak adalah golongan yang belum mencapai tahap akhil baligh.

Di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak secara rasmi bermula seawal usia 4 tahun dan ke atas. Pada peringkat ini kanak-kanak telahpun bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima pembelajaran dari pelbagai segi kerana proses pertumbuhan jasmani dan pemikiran.

‘Imaginasi’ di dalam tajuk ini merupakan perkataan yang sinonim dengan angan-angan, khayalan, bayangan, gambaran, fantasi dan daya cipta fikiran. Pernahkah anda berimaginasi sewaktu zaman kanak-kanak anda?

Pernahkah anda membayangkan diri anda sebagai seorang tukang mesin rumput di laman, menggalas beg sekolah dibelakang dan memegang penyapu sambil meniru aksi pemotong rumput?

Pernahkah anda menyanyi dan meniru gaya artis pujaan di hadapan cermin almari ibu anda? 

Pernahkah anda berimaginasi pondok telefon di hadapan rumah anda sebagai kapal angkasa yang akan menghantar anda ke planet lain?

Penulis ingin berkongsi serba sedikit imaginasi penulis sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Sebagai anak perempuan yang melihat kecantikan wajah ibu dan wanita dewasa yang mengenakan alat solek di wajah mereka , terbit pula rasa keinginan penulis untuk kelihatan cantik juga. Oleh kerana usia masih lagi kanak-kanak maka atas kreativiti dan tunjuk ajar dari kakak, penulis menggunakan pensil warna yang dicelupkan sedikit ke dalam air agar ia sedikit basah dan kemudiannya penulis mengenakannya diwajah sebagai lipstick, eye-shadow dan eye-liner!

Imaginasi untuk kelihatan cantik mendorong pemikiran penulis untuk memikirkan sesuatu secara kreatif di mana pada waktu itu tidak ada sesiapa pernah terfikir untuk berbuat demikian. Natijahnya atau kesannya terbahagi kepada dua iaitu yang pertama, penulis mendapat apa yang diangan-angankan dan kedua dimarahi oleh ibu penulis! Hehehe...:)

Imaginasi terbahagi kepada dua kategori iaitu imaginasi yang positif dan imaginasi yang negatif. Imaginasi yang positif boleh  membantu seseorang kanak-kanak untuk berfikiran lebih kreatif. Kreativiti lahir daripada pemikiran yang seni. Sebagai contoh jika anda memberikan beberapa batang aiskrim kepada dua orang kanak-kanak, perhatikan apakah yang bakal dilakukan oleh kedua mereka itu.

Seandainya salah seorang atau keduanya berfikiran kreatif, maka akan batang aiskrim itu akan dibinanya monumen mengikut daya imaginasi masing-masing. Namun seandainya mereka tidak kreatif, maka batang aiskrim hanya dijadikan permainan  ‘tepuk batang aiskrim’.

Tidak semua kanak-kanak mampu untuk berimaginasi dan mampu melahirkan pemikiran yang kreatif!

Victor Lowenfeld (1903-1960) merupakan seorang professor pendidikan seni di Universiti Pennsylvania, amat terkenal dengan penulisannya ‘Lowenfeld’s 1974 Creative and Mental Growth’. Di dalam penulisannya itu beliau memperkenalkan teori pembangunan artistik dikalangan kanak-kanak. Seperti yang penulis nyatakan sebelum ini iaitu, imaginasi melahirkan pemikiran kreatif dan kreativiti lahir dari pemikiran yang seni!

Teori-teori peringkat pembangunan artistik Lowensfeld’s iaitu:

1-      Scribble (age 2-4 years)
Secara ringkas penulis tafsirkannya sebagai lukisan atau seni contengan.

2-      Preschematic (age 4-6 years)
Lukisan praskema atau seni mengenal garisan di mana kanak-kanak mula membentuk garisan menjadi rupa seakan objek atau binatang.

3-      Schematic (age 7-9 years)
Lukisan skema di mana garisan menjadi teserlah menyerupai objek yang dilukis, ruang dimanfaatkan dan warna dimainkan.

4-      Dawning Realism (age 9-11 years)
Turut dikenali sebagai ‘gang age’ , secara ringkas penulis tafsirkannya kanak-kanak mula menghasilkan lukisan yang seakan realiti kepada jantina. Contoh jika dahulu melukis bentuk wanita yang hanya berambut panjang dan berskirt sebagai perbezaan kepada lelaki, namun pada peringkat ini lukisan wanita ditambah dengan kasut tumit tinggi dan mempunyai bentuk dada.

5-      The Pseudorealistic Stage (age 11 – 13 years)
Secara ringkasnya pada peringkat ini, kanak-kanak mula menambah baik seni pemikiran mereka membentuk lukisan yang mempunyai ciri-ciri emosi, gaya dan sebagainya.

Jelaslah bahawa imaginasi yang positif mampu membantu proses perkembangan minda dan pemikiran kanak-kanak menjadi lebih kreatif dan ia merupakan seni pemikiran!

Bagaimana pula imaginasi yang negatif? Imaginasi yang negatif sebenarnya berpunca atau lahir dari persekitaran yang negatif. Pada peringkat tumbesaran, kanak-kanak cenderung meniru sesuatu apa yang dilihatnya. Kanak-kanak mudah menjadi liar jika ibu bapa dan penjaga tidak memainkan peranan mereka dalam memandu pemikiran kanak-kanak.

Sebagai contoh, penulis berani menyatakan bahawa kes buli yang berleluasa dikalangan kanak-kanak sekolah adalah berpunca daripada imaginasi negatif yang dihasilkan dari suasana atau persekitaran pembesaran yang negatif. Video game misalannya, adalah faktor utama menyumbang kepada pengaruh minda kanak-kanak. Kanak-kanak inginkan permainan ‘street fighter’ yang mereka main di dalam video game setiap hari menjadi sesuatu yang dapat mereka alami dan rasai. Bermula dari gurauan bersama rakan-rakan meniru aksi figura akhirnya bercambah untuk menjadi yang terhebat dikalangan mereka, maka berlakulah ‘fighting’ pergaduhan yang sebenar.

Kesimpulan secara ringkasnya, penulis beranggapan ibu bapa harus memberi peluang dan ruang kepada kanak-kanak untuk berimaginasi. Anda tidak perlu takut seandainya anda melihat anak-anak anda bercakap sendirian dihadapan cermin kerana mereka bukan mengalami masalah mental. Ia merupakan titik permulaan anak anda mengasah keyakinan diri, andalah seharusnya membantu dan memandu imaginasi mereka ke arah yang positif. 

Jika anda pernah berimaginasi sewaktu zaman kanak-kanak dahulu, maka anda adalah seorang yang kreatif!

Penulis percaya bahawa imaginasi melahirkan kejayaan apabila ia menjadi realiti!!!





Wednesday 31 December 2014

Budak Nakal

Ditulis Oleh : Sophy San
Diterbitkan & Hakcipta: SophySan Publications
Tarikh: 31 Disember 2014
Sajak: Budak Nakal




Hey budak!
Kenapa kau nakal?
Aku bukan nakal!
Dia tidak mahu berkongsi mainan denganku.
Hey budak!
Kenapa kau nakal?
Aku bukan nakal!
Dia tidak mahu patuh arahanku.
Hey budak!
Kenapa kau nakal?
Aku bukan nakal!
Dia melaporkan perbuatanku pada guruku.
Hey budak!
Kenapa kau nakal?
Aku bukan nakal!
Aku hanya mahu mencubanya sahaja.
Hey budak!
Kenapa kau nakal?
Aku bukan nakal!
Aku hanya mengikut apa yang diajarkan kepadaku.
Hey budak!
Kenapa kau nakal?
Aku bukan nakal!
Bapaku tidak memberikan aku belanja.
Hey budak!
Kenapa kau nakal?
Aku bukan nakal!
Tiada siapa yang mempedulikan aku.
Hey budak!
Kenapa kau nakal?
Aku bukan nakal!
Aku mahu hidup bebas

Bukan salahku!
Tiada yang mendidikku sejak kecil.
Bukan salahku!
Aku menjadi liar.
Bukan salahku!
Aku disisih guruku dan rakanku.
Bukan salahku!
Aku tidak diawasi.
Bukan salahku!
Aku terpengaruh dengan rakan sebayaku.
Bukan salahku!
Bapaku tidak mempedulikan aku.
Bukan salahku!
Kedua orang tuaku berpisah.
Bukan salahku!
Aku diabaikan.
Bukan salahku!
Aku menjadi Nakal!!!






Tuesday 30 December 2014

Rintihan Sang Pendosa

Ditulis Oleh : Sophy San
Diterbitkan & Hakcipta: SophySan Publications
Tarikh: 30 Disember 2014
Sajak: Rintihan Sang Pendosa






Tuhan,
Kau telah menjadikan aku suci tatkala aku dilahirkan,
Dengan kesucian itu,
Aku meniti kehidupan dunia
Yang penuh debu-debu dosa

Tuhan,
Wajah yang Engkau ciptakan dengan kasih SayangMu
Ku palitkan dengan kotoran dosa
Kerana kejahilanku pada dunia

Tuhan
Telah berkali Kau peringatkan di dalam Al-Quran
“Janganlah menurut ajakan syaitan
Kerana syaitan adalah musuh yang nyata”
Namun
Aku ingkar akan perintahMu
Disebabkan
Nafsuku yang tidak pernah kenyang

Tuhan
Telah berkali-kali panggilanMu tidak kuendahkan
Kerana keasyikkanku pada duniaMu
Namun
Kau masih tetap mengasihiKu

Tuhan
Kau menyayangiKu dengan sedikit ujianMu
Namun
Aku sombong dengan kemampuanku

Tuhan
Kau menyeruKu untuk kembali kepadaMu
Saat dugaan hebat melanda diriku
Saat aku tenggelam dalam lautan dosaku
Saat aku kehilangan segala milikku
Saat aku hilang harapanku pada dunia
Saat manusia meninggalkanku

Dan ketika itu,

Kau mengambilku dari kehinaan dunia
Aku hadir dihadapanMu dengan lumpuran dosa
Kau bersihkannya dengan sifat rahmatMu
Kau berikan naunganMu padaku
Kau terangi kegelapanku dengan cahayaMu
Kau sirami kesedihanKu dengan kasihMu

Tuhan
Aku malu padaMu
Masih meminta kepadaMu
sedangkan betapa banyakNya nikmat
Yang Kau telah kurniakan padaku
tetapi hanya sedikit
kesyukuranku
kepadaMu

Namun

Kau Maha pemurah pada hambaMu
Kau kabulkan permintaanku
dikala susah dan senangku

Tuhan
Aku malu padaMu
tiada setitik airmataku jatuh
keranaMu

Namun

Kau lembutkan hatiku dengan sifat kelembutanMu
Kau ingatkanku akan nama-namaMu
Agar aku mengenaliMu
Agar aku sentiasa menyeruMu
Seruan yang mendekatkan aku kepadaMu

Tuhan
Ampunilah segala dosa-dosaku
Janganlah Engkau meninggalkanku
sepertimana mereka meninggalkanku
Janganlah kau biarkan aku sendirian
sepertimana aku melepaskan genggamanku dahulu

Tuhan
Tiada apa yang kuharapkan
dari sisa-sisa kehidupanku
Tiada apa lagi yang kuinginkan
sedangkan aku telah memilikinya dahulu
Tiada apa yang kukhuatirkan
seandainya kau memalingkan pandanganMu dariku
Tiada apa yang kudambakan
melainkan cintaMu yang Abadi






Friday 26 December 2014

Politik Dalam Organisasi Bahagian 1

Ditulis oleh: Sophy San
Diterbitkan & Hakcipta: SophySan Publications
Tarikh: 26 Disember 2014
Tajuk: Politik Dalam Organisasi Bahagian 1



Asslammualaikum dan salam sejahtera. Syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa yang masih memberi peluang kepada penulis untuk menulis artikel yang ke-9 pada hari ini.

‘Politik Dalam Organisasi’ merupakan tajuk yang dipilih oleh penulis dan merupakan kesinambungan kepada tajuk artikel yang pertama iaitu ‘Antara Rojak dan Cendol’, masihkah anda ingat akan tajuk tersebut?

Secara jujurnya penulis bukanlah seorang ahli politik, bahkan bukan juga pakar dalam bidang politik dan kepimpinan. Penulis akui tajuk sebegini amatlah berat untuk dibincangkan kerana penulis kurang berpengalaman apatah lagi usia yang masih muda. Namun sebagai penulis, ia merupakan satu cabaran untuk menghasilkan penulisan yang pelbagai dan serba boleh (versatile).

Tajuk kali ini penulis ingin mengupas dalam bentuk yang berbeza berdasarkan pengalaman yang sedikit dan menghubungkaitkannya dengan artikel yang pertama.

Sebagai pendahuluan, politik memberi skop yang sangat luas dan bukan hanya merupakan cabang ilmu siasah atau tata negara sahaja, malah tidak terhad penggunaannya di dalam pentadbiran negara, pilihanraya dan politik kepartian, tetapi pengaruhnya turut diperluaskan di dalam sesebuah organisasi yang bukan berpaksikan politik dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.

Persamaan politik dan organisasi adalah kedua-duanya mempunyai susunan ataupun struktur kepimpinan yang sama, iaitu terdiri daripada ketua sebagai pentadbir, beberapa saf (barisan) kepimpinan dan orang bawahan sebagai pelaksana (ataupun ditadbir).

Namun perbezaan bagi keduanya ialah, ketua (pentadbir) dipilih melalui suara majoriti dari segenap lapisan masyarakat melalui proses pilihanraya (bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi), manakala di dalam organisasi ditempat kerja misalannya, ketua dan barisan kepimpinan dipilih melalui perlantikan kuasa dari pihak atasan sahaja.

Pengaruh politik ini begitu kuat, aras pemikiran yang sentiasa dipengaruhi oleh konsep persaingan dan kuasa menyebabkan sesebuah organisasi tidak terkecuali menghadapi senario persaingan merebut jawatan dan pangkat.

Sebelum penulis menulis lebih jauh lagi, ingin penulis mengingatkan kepada anda bahawa artikel bahagian pertama ini adalah sebagai pengenalan dan jika diizinkan Tuhan penulis akan meneruskan kesinambungannya dengan bahagian seterusnya, InsyaAllah. Segala idea dan pendapat anda sangat-sangat dialu-alukan.

Kaitannya dengan artikel “Antara Rojak dan Cendol” adalah pada ciri-ciri dominan dan popular yang disebutkan di dalamnya, di mana ciri-ciri kedua-duanya ini berperanan penting dan saling berkait rapat bagi memastikan kedudukan/legasinya masih utuh dan relevan. Begitu juga di dalam sesebuah organisasi, kedua-duanya mempengaruhi bentuk dan corak sesebuah organisasi tersebut.

Ciri-ciri dominan ini biasanya dimiliki oleh mereka yang bersifat kepimpinan, berkuasa, berkarisma, berpengalaman luas, kredibiliti dalam pentadbiran, bersifat sempurna (perfectionist), sistematik dan sebagainya.

Manakala ciri-ciri popular biasanya terdapat pada mereka yang memiliki ‘value added’ (nilai tambah) pada personalitinya yang menyebabkan dirinya menjadi populis atau kesukaan (favourite) dikalangan ahli atau anggota organisasi. Nilai tambah ini terlalu abstrak, ia dilihat sebagai anugerah dan bergantung kepada persepsi (pandangan) mereka yang mengangkatnya. Namun secara umum individu yang popular ini biasanya mempunyai ciri-ciri positif dan aura positifnya sangat terkesan pada orang disekelilingnya.

Seperti juga di dalam politik, kita biasa melihat persaingan di dalam organisasi berlaku kepada mereka yang memiliki ciri-ciri dominan dan popular.  Sejak dari dahulu lagi mereka yang dominan akan diangkat menjadi ketua, namun zaman semakin berubah apabila mereka yang popular menjadi pilihan untuk mempelopori sebuah organisasi.

Pada pandangan penulis, persaingan ini disebabkan oleh  salah satu unsur terpisah (dominan/ popular) di dalam diri seorang pemimpin. Bayangkan jika ketua sesebuah organisasi tidak mempunyai sifat-sifat yang dominan, di manakah agaknya halatuju organisasi tersebut? Begitu juga jika ketua sesebuah organisasi tidak mempunyai populariti?, perlu diingat bahawa populariti adalah disebabkan nilai tambah pada personaliti seorang pemimpin. Tidak semua yang dominan disukai ramai!

Kita juga pernah melihat individu yang popular diangkat menjadi pemimpin! Sebagai contoh, pelakon Filipina Joseph Estrada pernah dipilih oleh rakyat menjadi Perdana Menteri di negaranya suatu waktu dahulu dan ia bukan sesuatu yang mustahil.

Sungguhpun persaingan ini wujud di dalam organisasi sepertimana di dalam politik, namun bezanya adalah persaingan di dalam organisasi ini lebih bersih berbanding persaingan politik.

Mereka yang memiliki hanya salah satu unsur (dominan/popular) tidak perlu khuatir, jika anda masih berada di kerusi yang dominan (ketua/bos) pada waktu ini, anda masih belum terlambat untuk memperkukuhkan kedudukan anda dengan bekerjasama dengan mereka yang popular kerana pengaruh mereka.

Begitu juga mereka yang memiliki ciri-ciri popular, jangan mudah berputus asa dan belum terlambat untuk anda berada dipuncak dalam sesebuah organisasi. Populariti tidak ada manfaatnya jika anda tidak tahu memimpin, pendek kata tidak reti buat kerja! Anda harus keluar dari kelompok sebagai ‘aksesori’ dan mendekati mereka yang dominan.

Bagi penulis, pemimpin yang berkaliber dan hebat adalah mereka yang memiliki kedua-dua ciri ini iaitu dominan dan popular. Jika anda memiliki kedua-dua ciri ini, ia merupakan bonus buat diri anda!

Tun Dr. Mahathir bin Mohammad adalah di antara pemimpin dunia yang mempunyai kedua-dua unsur dominan dan popular. Memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun dan sangat dikenali diperingkat dunia adalah bukan mudah!!. Ia merupakan suatu anugerah memiliki kedua-dua ciri yang dominan dan popular.

Bagaimana pula bagi mereka yang tidak memiliki salah satu ataupun kedua-dua ciri ini di dalam organisasi?

Mereka yang tidak memiliki salah satu atau kedua-dua ciri dominan dan popular, penulis mengklasifikasikannya adalah golongan yang ‘reserve’ (simpan/selamat) dalam organisasi.

Seperti di dalam arena politik, setiap pemimpin mempunyai pengikut masing-masing, pengaruhnya di dalam mencorak sesebuah organisasi juga begitu. Penulis memisahkan golongan ‘reserve’ ini kepada dua pula iaitu ‘follower’ (pengikut) dan ‘non-follower’ (bukan pengikut).

Golongan ‘follower’ terbahagi kepada dua iaitu ‘follower’ kepada yang dominan mahupun yang popular. Manakala golongan ‘non-follower’ juga boleh dipisahkan kepada dua iaitu ‘non-follower’ yang aktif dan ‘non-follower’ yang pasif. Bahkan ‘non-follower’ yang aktif masih boleh lagi dipisahkan kepada dua iaitu ‘non-follower’ yang aktif dan impak positif dan ‘non-follower’ yang aktif dan impak negatif!.


Penulis akan menghuraikan secara lebih lanjut di dalam bahagian seterusnya, jika diizinkan Tuhan insyaAllah… Penulis memohon maaf di atas kekurangan dan kesilapan di dalam artikel ini. Segala kritikan dan pendapat sangat dialu alukan.